Kamis, 19 Desember 2013
PM Berlakon Drama Radio Ikrar Perwira

Dalam diam tak diam, rupa-rupanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memiliki bakat berlakon, lebih-lebih lagi dalam drama radio.
Bernama Radio24 (BR24) mencungkil bakat terpendam beliau dalam satu drama khas kemerdekaan bertajuk ‘Ikrar Perwira’ hasil tulisan dan arahan Nizuan Hanaffi.
Drama radio ini mengambil kisah peristiwa pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah oleh pengganas Sulu. Selain Najib, drama itu turut dijayakan dengan lakonan oleh Man Raja Lawak atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Kasim, juara program Raja Lawak musim ke lima.
Ketua Pegawai Operasi BR24 Azlan Idris dalam satu kenyataan semalam berkata bukan mudah untuk mendapatkan seorang pemimpin tertinggi negara untuk berlakon.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena meraikan ulang tahun ke-6 stesen radio milik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu.
“Tidak mudah mendapatkan Perdana Menteri untuk berlakon tetapi kami berjaya melakukannya,” katanya.
“Beliau menunjukkan komitmen tinggi walaupun tidak pernah berlakon drama radio atau televisyen sebelum ini.
“Beliau juga melakonkan peranannya pada sekali cubaan tanpa ulangan,” kata Azlan.
Dalam tempoh setahun ini, BR24 telah memperkenalkan beberapa program baru bagi memperkukuh penjenamaannya sebagai stesen yang membawakan ‘Berita Pantas, Info Berterusan’.

“Program ‘Dalam Radar’ semakin menyerlah dengan penampilan tetamu kategori ‘A’ yang terdiri daripada pemimpin kerajaan, badan bukan kerajaan dan industri,” kata Azlan.
Katanya antara yang pernah muncul adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, datuk Seri Mohd Syafie Apdal.
Drama radio ‘Ikrar Perwira’ itu diulang siar setiap hari pada pukul 10.32 pagi sehingga 16 September depan bermula 30 Ogos lepas.
Menurut Pengarah dan Penerbitnya Nizuan kepada Mynewshub, pihak produksi pergi bertemu dengan Najib di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, untuk merakamkan watak beliau dalam drama berkenaan.
OLEH : IBNU K
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar